Keputusan ini telah diumumkan oleh Yang Berbahagia Datuk Hj. Md. Rashid bin Hj. Hussin, Pengarah Pendidikan Melaka dalam satu acara khas di SMA (JAIM) Al-Asyraf, Pulau Sebang pada pagi ini.
Menurutnya, seramai 54 calon iaitu 76.1% telah berjaya memperolehi sijil pada tahun ini meningkat daripada 33 orang atau 63.5% pada tahun 2013 lalu. Hanya satu mata pelajaran sahaja bilangan calon mumtaz telah meningkat iaitu Arudh dan Qafiyah.
Hanya seorang calon mumtaz pada tahun ini berbanding 4 orang pada tahun lalu. 13 orang telah mendapat sijil Jayyid Jiddan, 33 Jayyid manakala sijil Maqbul pula 7 orang.
Majlis penyampaian sijil dan hadiah kecemerlangan telah disempurnakan oleh YB Datuk Wira Hj. Md. Yunos bin Husin, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi.
Turut Hadir, En. Mustafa bin Musa, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), Cik Normadiah bt. Mohamad Isa, Pengetua SMA (JAIM) Al-Asyraf, Hj. Rashid bin Ab. Hamid, Pegawai Pendidikan PPD Alor Gajah, Hj. Mohd. Said bin Mohd. Amin, Penolong Pengarah bahagian Pendidikan JAIM, En. Mohd. Yazid bin Baharom, Ketua Unit Peperiksaan dan Penilaian, Jabatan Pendidikan Melaka.
Menurut Nurnabilah yang berasal dari Kg. Bukit Lintang ini, beliau amat bersyukur ke hadrat Ilahi atas pencapaian ini kerana munajat kepada-Nya dengan penuh rasa kehambaan adalah salah satu kunci kejayaannya. Beliau turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik baginya manakala berkat bimbingan para gurunya juga adalah penyumbang utama kejayaan yang telah dicapai pada hari ini.
Beliau yang berhasrat melanjutkan pelajarannya ke Timur Tengah merupakan salah seorang pelajar lepasan SMA (JAIM) Assaiyidah Khadijah, Merlimau.
http://www.spimelaka.bpi.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1490%3Anurnabilah-calon-terbaik-stam-2014&catid=6%3Aberita-terkini